Saturday, October 11, 2008

1. PRAKATA


Pelbagai jenis makanan kita boleh perolehi dari pasaran. Dari makanan yang manis hinggalah ke makanan yang masam, semuanya 'dipersembahkan' dalam bentuk yang menarik. Tidak dapat dinafikan, persembahan sesuatu makanan memainkan peranan yang penting dalam pembeliannya. Sehingga ada yang menyatakan manusia memakan dengan 'mata' bukan dengan mulut. Tetapi bagi

orang Islam ada satu faktor yang jauh lebih penting iaitu Halal atau Haram sesuatu makanan. Umat Islam diajar memakan makanan yang bersih dan selamat. Islam mengambil berat tentang punca, sumber dan kebersihan makanan, cara memasak, menghidang dan memakan makanan dan akhir sekali cara membuang sisa makanan.

Haramnya sesuatu makanan mempunyai hikmah yang tersembunyi. Contohnya darah adalah Haram untuk dimakan. Ini adalah kerana darah merupakan suatu medium yang kaya dengan nutrien dan turut berperanan sebagai sistem pengangkutan utama dalam tubuh haiwan hidup.

Al-Quran dan Sunnah dijadikan panduan oleh umat Islam dalam menentukan sesuatu makanan Halal atau Haram. Halal adalah perkataan Arab yang bermaksud dibenarkan atau dibolehkan. Manakala Haram (perkataan Arab) membawa maksud tidak dibenarkan atau dilarang.

Perintah Perihal Dagangan (penggunaan perbahasan Halal) 1975 mentakrifkan perkataan 'Halal', 'makanan orang Islam' atau makanan 'ditanggung Halal' :

* (a) Bukanlah terdiri daripada atau mengandungi apa-apa bahagian atau benda dari binatang yang orang Islam dilarang oleh hukum syarak memakannya atau yang tidak disembelih mengikut hukum syarak,

* (b) Tidaklah mengandungi apa-apa benda yang dihukum sebagai najis mengikut hukum syarak,

* (c) Tidak disedia, diproses atau dikilang dengan menggunakan apa-apa alat yang tidak bebas dari benda-benda najis mengikut hukum syarak; dan

* (d) Tidaklah dalam masa menyedia, memproses atau menyimpannya itu bersentuhan atau berdekatan dengan apa-apa makanan yang tidak memenuhi kehendak-kehendak perenggan (a), (b) dan (c) atau apa-apa benda yang dihukum sebagai najis mengikut hukum syarak.

"Wahai orang yang beriman, makanlah di antara rezeki yang baik-baik yang Kami berikan kepadamu dan bersyukurlah kepada Allah, jika benar-benar kepadaNya saja kamu menyembah."

(al-Baqarah: 172)

Tubuh badan manusia adalah satu organisma hidup yang amat hebat kerana berkeupayaan untuk mengawal, membesar, memperbaiki, dan mempertahankan diri sekiranya kita mengamalkan pengambilan makanan yang seimbang, bermutu tiinggi dan semula jadi.

Di dalam memilih makanan, Islam menekankan agar umatnya mencari yang halal serta baik. Ini kerana faham halalan tayyiban yang dianjurkan dalam Al Quran mencerminkan kepada kita bahawa Islam itu syumul hatta di dalam bab pemilihan makanan sekalipun diperincikan dengan faham yang cukup lengkap panduannya.

Intipatinya mudah,

  • pilih makanan yang halal
  • sumber rezeki yang halal
  • menekankan unsur mutu makanan iaitu pemakanan yang sihat serta makanan yang baik dan bersih untuk kesihatan.

Jika sebelum ini kita hanya terus menyuapkan apa yang kita mahu makan ke dalam mulut kita, ubah pemikiran kita kepada berfikir sejenak sama ada makanan yang kita makan itu halal ataupun tidak. Ini juga adalah untuk kebaikan kita dan juga generasi kita.

Makanan yang kita makan adalah bermutu jika menepati cirri-ciri makanan yang seimbang. Kita hendaklah memikirkan demi kebaikan kita untuk memantapkan lagi kesihatan kita. Salh bin Saad pernah meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW mengamalakan pemakanan buah tembikai berserta dengan buah tamar dan amalan ini merupakan satu pendekatan yang dipamerkan oleh baginda dalam pola pemakanan yang seimbang.

Mungkin di kalangan kita tidak memperhalusi erti tayyib sebenar dan mengambil mudah tentangnya sebelum ini. Namun, kita boleh menanamkan niat agar kita menekankan soal keselamatan makanan yang merangkumi soal kebersihan dan keracunan makanan. Apabila ingin mengubah selera makan diluar, sebagai pengguna yang bijaksana perlulah memilih kedai yang bersih, halal dan selamat. Penyajian makanan juga tidak meragukan kita. Di dalam satu hadis, Anas Ibn Malik meriwayatkan bahawa Nabi Muhammad SAW membersihkan buah kurma terlebih dahulu sebelum makan. Ini menunjukkan walaupun buah kurma itu makanan yang segar, ia mungkin tercemar oleh debu atau benda- benda lain yang menyebabkan ia tidak elok untuk dimakan. Oleh itu, membasuhnya adalah salah satu cara untuk kita mengekalkan keselamatan makanan tersebut.

Dalam sudut lain mengenai pemakanan, kadang- kadang ramai di antara kita bimbang dengan penampilan saiz badan masing- masing terutamanya wanita. Mungkin ada di kalangan kita mengalami masalah kegemukan. Kegemukan bukan sekadar masalah lahiriah tetapi dari sudut kesihatan ia mungkin mendatang bahaya yang lebih besar iaitu penyakit berkaitan jantung. Ia amat membimbangkan kerana penyakit ini dapat membunuh manusia secara senyap tanpa disedari. Oleh itu, pemakanan yang sihat dapat menjamin bentuk badan yang cantik secara langsung kesihatan yang baik. Bagi yang memiliki bentuk badan yang tidak memuaskan, dengan gaya pemakanan yang seimbang dan senaman yang berkala dapat menurunkan berat badan kepada bentuk yang diingini. Oleh itu, tiket atas dasar kesihatan mungkin menjadi satu titik tolak untuk kita berusaha mencapai berat badan yang unggul dalam memperbaiki taraf kesihatan yang lebih baik. Dengan azam yang kental, kita dapat menterjemahkan impian kita kepada kenyataan.

No comments: